Mengenai Saya

Turn to Allah. He’s never far away. Put your trust in Him. Raise your hands and pray: " OOO Ya Allah, guide my steps don’t let me go astray. You’re the only one that showed me the way.." InsyaAllah..we'll find the way..Aameen..

FADHILAT HARI 'ASYURA


• Amalan Dan Fadhilat Serta Peristiwa Bersejarah Di Hari 'Asyura


Muharam adalah suatu bulan yang cukup penting dalam Islam. Selain sebagai bulan pertama dalam Islam, Padanya juga ada suatu hari yang dikenali sebagai Hari 'Asyura yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri.


Hari 'Asyura berasal daripada perkataan ‘Asyara’ yang bermaksud kesepuluh atau merujuk kepada hari yang kesepuluh dalam bulan Muharam. Sementara hari yang kesembilan daripada bulan Muharam dikenali sebagai Hari Tasua’ (kesembilan).


Pada awal Islam, Hari 'Asyura adalah merupakan hari yang cukup dimuliakan dan diwajibkan bagi orang-orang Islam untuk berpuasa padanya hinggalah turunnya perintah berpuasa fardhu pada bulan Ramadhan maka hukum berpuasa pada Hari 'Asyura bertukar kepada Sunat Muaakad. Namun, sebahagian sahabat masih kekal melaksanakan puasa pada hari tersebut mengenangkan kelebihan dan keistimewaan hari tersebut berdasarkan banyak nas-nas daripada Hadith Rasulullah SAW.


Nas-Nas Berhubung dengan Hari 'Asyura:

1. Daripada Abdullah Ibni Abbas berkata: Telah menyuruh Rasulullah S.A.W. supaya berpuasa pada Hari 'Asyura pada hari kesepuluh pada bulan Muharam. [1]


2. Daripada Abu Qatadah, bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda: Berpuasalah pada hari 'Asyura bahawasanya aku berharap di atas Allah S.W.T bahawa ianya (berpuasa itu) dapat mengkifaratkan segala dosa pada tahun yang lalu.[2]


3. Biasanya Bangsa Quraish berpuasa pada Hari 'Asyura sejak zaman jahiliyyah, juga Rasulullah S.A.W biasa berpuasa di Makkah dan kemudian selepas berhijrah ke Madinah, dan telah turun perintah wajib berpuasa pada bulan Ramadhan maka Nabi S.A.W bersabda: Saya dahulu telah menyuruh kamu sebagai perintah wajib berpuasa 'Asyura dan kini terserah siapa suka berpuasa dan yang tidak suka boleh meninggalkannya.[3]


Dan banyak lagi nas-nas yang menunjukkan kelebihan untuk berpuasa pada Hari 'Asyura ini.




Puasa 'Asyura pada awalnya dilakukan oleh Rasulullah sendirian dan tidak diperintahkan kepada sahabat-sahabat untuk melakukannya ketika baginda masih berada di Mekah, namun selepas penghijrahan baginda ke Madinah baginda telah meneruskan puasa tersebut dan turut memerintahkan para sahabat untuk mengerjakannya sehinggalah turunnya perintah untuk berpuasa pada bulan Ramadhan maka hukum berpuasa pada Hari 'Asyura dimansuhkan.


Hari 'Asyura sebenarnya bukan sahaja disambut oleh orang Islam namun dalam masa yang sama golongan Kristian dan Yahudi turut mengagungkan hari tersebut kerana terdapatnya peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada hari tersebut. Sepertimana yang dinyatakan dalam hadith: “Daripada Ibn Abbas R.A. berkata: ketikamana sampai Rasulullah S.A.W di Madinatul Munawwarah maka baginda dapati golongan Yahudi berpuasa pada Hari 'Asyura maka bersabda Rasulullah S.A.W.kepada mereka : Hari apakah ini yang kamu berpuasa?


Maka mereka berkata (yahudi): Hari ini adalah hari yang besar bagi kami, dimana Allah S.W.T. telah selamatkan Nabi Musa A.S. dan kaumnya dan menenggelamkan Firaun bersama kaumnya ke dasar lautan, maka berpuasalah Musa kerana bersyukur maka kami pun berpuasa.


Maka bersabda Rasulullah S.A.W: Sekiranya begitu kamilah yang lebih layak berpuasa daripada kamu maka berpuasalah Rasulullah S.A.W dan menyuruh sahabat-sahabatnya untuk berpuasa.[4]


Rasulullah S.A.W telah mengajar umatnya untuk berpuasa pada hari yang sepuluh pada bulan Muharam dengan tidak melakukannya sendirian namun turut berpuasa juga pada hari yang kesembilan atau hari yang kesebelas atau ketiga-tiga hari tersebut bagi mengelakkan meniru puasa orang yahudi yang berpuasa hanya pada 10 Muharram.


Sebenarnya berlaku khilaf dikalangan ulama dalam menentukan tarikh sebenar Hari 'Asyura samada hari kesembilan atau hari kesepuluh. Namun mengambil sikap cermat dalam melakukan ibadah dengan berpuasa pada kedua-dua hari tersebut adalah terlebih baik agar kita tidak terlepas daripada mendapat kelebihan yang ada pada hari 'Asyura tersebut.

Antara amalan disunatkan pada bulan Muharam:

•Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
•Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.
•Menahan marah. Fadhilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.

 •Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.
•Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.
•Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
•Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
 •Mandi Sunat. Fadhilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
•Bercelak. Fadhilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.
•Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000 kali. Fadhilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.

•Sembahyang sunat empat rakaat. Fadhilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya.

Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari 'Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas surah Al-Fatehah dibaca Qulhuwallah 11 kali.
 •Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.

•Puasa. Fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari 'Asyura kerana Allah Taala."

Moga panduan yang diberi memberikan kita kesempatan untuk bersedia menyambut suatu hari yang besar di dalam Islam ini. Selamat menyambut Hari 'Asyura.

[1] Hadith riwayat Imam At Tirmidzi dan ia berkata Hadith ini Hasan lagi Shahih

[2] Hadith Shahih riwayat Imam At Tirmidzi

[3] Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim

[4] Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Muslim

• Peristiwa Bersejarah Di Hari 'Asyura

Sabda Rasulullah S.a.w:

“Sesiapa yang berpuasa pada hari 'Asyura (10 Muharam), maka Allah akan memberi kepadanya pahala sepuluh ribu malaikat dan juga akan diberi pahala sepuluh ribu orang berhaji dan berumrah dan sepuluh ribu orang mati syahid. Dan sesiapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari Asyura, maka Allah akan menaikkan dengan tiap anak rambut satu darjat. Sesiapa yang memberi buka puasa pada semua umat Muhammad saw dan mengenyangkan perut mereka.” Sahabat pun bertanya, “Ya Rasulullah, Allah telah melebihkan hari Asyura, dan menjadikan bukit dari lain-lain hari.” Jawab Rasulullah, “benar, Allah telah menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura, dan menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura dan menjadikan laut pada hari Asyura dan menjadikan Loh Mahfuz dan Qalam pada hari Asyura dan juga menjadikan Adam dan Hawa pada hari Asyura, dan menjadikan syurga dan neraka serta memasukkan Adam ke syurga pada hari Asyura, dan Allah menyelamatkannya dari api pada hari Asyura dan menyembuhkan dari bala pada Nabi Ayub. Pada hari Asyura juga Allah memberi taubat kepada Adam dan diampunkan dosa Nabi Daud, juga kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari Asyura dan kiamat akan terjadi pada hari Asyura.” Maka pada hari itu ( 10 Muharam) Nabi Adam dan Nabi Nuh a.s berpuasa kerana bersyukur kepada Allah kerana hari itu merupakan hari taubat mereka diterima oleh Allah setelah beratus-ratus tahun lamanya memohom keampunan. Pada hari itu juga, hari pembebasan bagi orang-orang Islam yang telah sekian lama dikongkong oleh Firaun, di mana hari itu mereka diselamatkan dari kejahatan dan kezaliman Firaun yang selama ini mengancam agama dan menggugat iman mereka. Dengan tenggelamnya Firaun, Haman, Qarun dan istana mereka bererti berakhirlah sudah kezaliman musuh-musuh Allah buat masa itu. Terselamatlah tentera Nabi Musa dari musuh dengan mukjizat yang Allah berikan, maka mereka berpuasa kerana kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah swt.

Banyak peristiwa bersejarah yang berlaku pada 10 Muharam ini, di mana pada hari inilah, Allah telah memuliakan Nabi-Nabi dengan sepuluh kehormatan.
1.Setelah beratus-ratus tahun meminta ampun dan taubat pada Allah, maka pada hari yang bersejarah 10 Muharam inilah, Allah telah menerima taubat Nabi Adam. Ini adalah satu penghormatan kepada Nabi Adam a.s.
2.Pada 10 Muharam juga, Nabi Idris a.s telah di bawa ke langit, sebagai tanda Allah menaikkan darjat baginda.

3.Pada 10 Muharam, tarikh berlabuhnya perahu Nabi Nuh a.s kerana banjir yang melanda seluruh alam di mana hanya ada 40 keluarga termasuk manusia binatang sahaja yang terselamat dari banjir tersebut. Kita merupakan cucu-cicit antara 40 keluarga tadi. Ini merupakan penghormatan kepada Nabi Nuh a.s kerana 40 keluarga ini sahaja yang terselamat dan dipilih oleh Allah. Selain dari itu, mereka adalah orang-orang yang engkar pada Nabi Nuh a.s.
4.Nabi Ibrahim dilahirkan pada 10 Muharam dan diangkat sebagai Khalilullah (kekasih Allah) dan juga hari di mana baginda diselamatkan dari api yang dinyalakan oleh Namrud. Nabi Ibrahim diberi penghormatan dengan Allah memerintahkan kepada api supaya menjadi sejuk dan tidak membakar Nabi Ibrahim. Maka terselamatlah Nabi Ibrahim dari angkara kekejaman Namrud.
5.Pada 10 Muharam ini juga Allah menerima taubat Nabi Daud kerana Nabi Daud merampas isteri orang walaupun bagainda sendiri sudah ada 99 orang isteri, masih lagi ingin isteri orang. Oleh kerana Nabi Daud telah membuatkan si suami rasa kecil hati, maka Allah turunkan dua malaikat menyamar sebagai manusia untuk menegur dan menyindir atas perbuatan Nabi Daud itu. Dengan itu sedarlah Nabi Daud atas perbuatannya dan memohon ampun pada Allah. Sebagai penghormatan kepada Nabi Daud a.s maka Allah mengampunkan baginda pada 10 Muharam.
6.Pada 10 Muharam ini juga, Allah mengangkat Nabi Isa ke langit, di mana Allah telah menukarkan Nabi Isa dengan Yahuza. Ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi Isa daripada kekejaman kaum Bani Israil.
7.Allah juga telah menyelamatkan Nabi Musa pada 10 Muharam daripada kekejaman Firaun dengan mengurniakan mukjizat iaitu tongkat yang dapat menjadi ular besar yang memakan semua ular-ular ahli sihir dan menjadikan laut terbelah untuk dilalui oleh tentera Nabi Musa dan terkambus semula apabila dilalui oleh Firaun dan tenteranya. Maka tenggelamlah mereka di Laut Merah. Mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Nabi Musa ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi Musa a.s
8.Allah juga telah menenggelamkan Firaun, Haman dan Qarun serta kesemua harta-harta Qarun dalam bumi kerana kezaliman mereka. 10 Muharam, merupakan berakhirnya kekejaman Firaun buat masa itu.
9.Allah juga telah mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan setelah berada selama 40 hari di dalamnya. Allah telah memberikan hukuman secara tidak langsung kepada Nabi Yunus dengan cara ikan Nun menelannya. Dan pada 10 Muharam ini, Allah mengurniakan penghormatan kepada baginda dengan mengampun dan mengeluarkannya dari perut ikan Nun.

10.Allah juga telah mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman a.s pada 10 Muharam sebagai penghormatan kepada baginda. Dengan itu, mereka berpuasa dan beribadah kepada Allah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt.

Nabi saw telah bersabda dengan maksudnya: “Saya dahulu telah menyuruh kamu berpuasa sebagai perintah wajib puasa 'Asyura, tetapi kini terserahlah kepada sesiapa yang suka berpuasa, maka dibolehkan berpuasa dan sesiapa yang tidak sukar boleh meninggalkannya.”

Begitulah sabda Rasulullah di mana puasa pada hari 'Asyura ini sangat-sangat dituntut. Kalau tidak memberatkan umat baginda, maka diwajibkan. Oleh kerana takut memberatkan umatnya, maka hukumnya adalah sunat.