Mengenai Saya

Turn to Allah. He’s never far away. Put your trust in Him. Raise your hands and pray: " OOO Ya Allah, guide my steps don’t let me go astray. You’re the only one that showed me the way.." InsyaAllah..we'll find the way..Aameen..
Memaparkan catatan dengan label Panduan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Panduan. Papar semua catatan

SIFAT UTAMA SAHABAT-SAHABAT RASULULLAH S.A.W


Sifat- sifat utama dari sahabat- sahabat besar yang telah menyertai sejak awal Islam:

1) Zuhud terhadap dunia ini.

2) Tidak menghadapi hayat dunia ini dengan sepenuhnya, seperti yang dikehendaki oleh istilah hidup duniawi.
3) Mereka mencintai hidup seperti mencintai mati

4) Mereka benci akan harta dan barang- barang perhiasan dunia.
5) Mereka cinta segera bertemu dengan Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Penyayang.

Inilah rahsia- rahsia besar yang telah memberi kemenangan besar kepada perjuangan sahabat- sahabat hingga ke seluruh Tanah Arab dan seluruh Parsi, Syria dan Mesir semuanya Islam dalam masa 10 tahun di zaman Nabi S.a.w tambah 2 tahun di zaman Abu Bakar, tambah 10 tahun di zaman Umar R.a. Kalau sifat Khalifah dan gabenor- ganenornya serta komandan- komandannya tidak demikian suci akan banyak sekali rintangan yang terjadi sementara kemenangan terakhir belum terdapat pada negara yang besar di atas, seperti yang biasa di lihat pada sejarah kemenangan- kemenangan di atas dunia ini.
 

ADAB-ADAB BERSAMA ALLAH



1. Cintakan Allah SWT.

2. Ikhlaskan segala amalan semata-mata kerana Allah SWT.

3. Takut dan sentiasa berharap kepada Allah SWT.

4. Bersyukur apabila diberi nikmat.

5. Bersabar apabila ditimpa kesusahan.

6. Melihat Taufiq dan Hidayah daripada Allah SWT apabila dapat melakukan ibadat dan ketaatan.

7. Sentiasa berzikir mengingati Allah SWT dan sentiasa bertaubat memohon keampunan dariNya.

8. Tidak berputus asa, malah sentiasa mengharapkan rahmat daripadaNya.

9. Melakukan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

10. Beriman dengan penuh keyakinan terhadap Qada’ dan Qadar Allah SWT kerana setiap perkara yang berlaku ada hikmah disebaliknya yang tidak diketahui.

GANGGUAN KETIKA MENUNAIKAN SOLAT


Antara gangguan ketika menunaikan solat adalah:

1) Berasa was-was ketika melakukan takbiratul ihram

Saat membaca takbiratul ihram, ‘Allahu Akbar’, seseorang akan berasa ragu-ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sah atau belum sah.

Sehingga dia mengulanginya sekali lagi dengan membaca takbir. Perasaan itu akan berterusan kadang-kadang sampai imam hampir rukuk.

Ibnu Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka terseksa.

2) Tidak memberi tumpuan ketika membaca bacaan dalam solat.

Sahabat Rasulullah, Uthman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah.” Rasulullah menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib.

“Apabila kamu berasakan kehadirannya, ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT gangguan itu dariku” (Hadis Riwayat Muslim).

3) Lupa jumlah rakaat yang dikerjakan

Abu Hurairah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jika seorang daripada kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggoda sampai mereka tidak tahu berapa rakaat yang dikerjakan. Apabila seorang daripada kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

4) Hadirnya fikiran yang memalingkan tumpuan

Abu Hurairah berkata, “Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan.

Apabila muazin selesai azan, ia kembali lagi dan jika iqamat dikumandangkan dia berlari. Apabila selesai iqamat, dia kembali lagi.

Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya,’Ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat!’ Sehingga orang itu tidak tahu berapa rakaat ia solat.” (Hadis Riwayat Bukhari).

5) Tergesa-gesa menyelesaikan solat

Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang untuk berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Tidak ada ketenangan atau thuma’ninah. Pada zaman Rasulullah ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah memerintahkannya untuk mengulanginya kerana solat yang ia kerjakan belum sah.

Rasulullah bersabda kepadanya, “Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma’ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri.

Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (thuma’ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

6) Melakukan gerakan yang tidak perlu

Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat.

“Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan itu berasal daripada syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah”. Orang itu bertanya, “Apa yang dilakukannya? “Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. “Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w,” kata Ibnu Umar (Hadis Riwayat Tirmidzi).

7) Melihat ke kiri atau ke kanan ketika solat

Sedar atau tidak, jika seseorang itu melihat ke kiri atau ke kanan, itu akibat godaan syaitan yang menggoda. Kerana itu, selepas takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan dicuri syaitan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah beliau berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah hukum melihat ketika solat”. Rasulullah menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba.” (Hadis Riwayat Bukhari).

8) Menguap dan mengantuk

Rasulullah bersabda bermaksud: “Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah.” (Hadis Riwayat Thabrani).

Dalam riwayat lain Rasulullah bersabda, “Ada pun menguap itu datangnya daripada syaitan, hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ‘ha…’ bererti syaitan tertawa dalam mulutnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

9) Bersin berulang kali ketika solat

Syaitan ingin mengganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas’ud, “Menguap dan bersin dalam solat itu daripada syaitan.” (Riwayat Thabrani).

Ibnu Mas’ud berkata, “Bersin yang tidak disenangi Allah adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah. Hal itu tidak lain kerana syaitan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan pelbagai cara.”

10) Terasa ingin buang angin atau buang air

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang daripada kalian bimbang apa yang dirasakan di perutnya apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (Hadis Riwayat Muslim).

Berbahagialah orang Muslim yang selama ini terbebas daripada pelbagai macam gangguan syaitan dalam solat mereka. Semoga kita semua dibebaskan Allah daripada gangguan berkenaan.

Bagi yang berasakan gangguan itu, sebahagian atau keseluruhannya, janganlah putus asa untuk berjihad melawan syaitan terkutuk.

 

ADAB- ADAB KETIKA MEMBACA AL-QURAN


WAJIB bagi kita menghalalkan apa yang dihalalkan al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkannya. Diwajibkan pula beradab dengannya dan berakhlak terhadapnya.

Ketika membaca al-Quran, seorang Muslim perlu memperhatikan adab berikut untuk mendapatkan kesempurnaan pahala dalam membacanya.

• Membacanya dalam keadaan sempurna, suci daripada najis dan dengan duduk yang sopan dan tenang. Dianjurkan agar pembaca berada dalam keadaan suci.
 Imam Haromain berkata: “Orang yang membaca al-Quran dalam keadaan najis, dia tidak dikatakan mengerjakan hal yang makruh akan tetapi dia meninggalkan sesuatu utama”.

• Membacanya dengan perlahan (tartil) dan tidak cepat agar dapat menghayati ayat yang dibaca.

 Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Siapa saja yang membaca al-Quran (khatam) kurang dari tiga hari, bererti dia tidak memahami.” (Hadis Riwayat: Ahmad dan penyusun Kitab Sunan)

Sebahagian kelompok daripada generasi pertama membenci pengkhataman al-Quran sehari semalam berdasarkan hadis di atas. Rasulullah memerintahkan Abdullah Ibnu Umar untuk mengkhatamkan al-Quran setiap satu minggu (tujuh hari) (Muttafaq Alaih). Ini dilakukan Abdullah bin Mas’ud, Uthman bin Affan, Zaid bin Tsabit. Mereka mengkhatamkan al-Quran sekali dalam seminggu.

• Membaca al-Quran secara khusyuk dengan menangis kerana sentuhan pengaruh ayat yang dibaca yang menyentuh jiwa dan perasaan.
 Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran dan menangislah, apabila kamu tidak menangis maka usahakan menangis kerana ayat yang engkau baca.” (Hadis Riwayat: Al-Bazzar)

Allah s.w.t juga menjelaskan sebahagian daripada sifat hamba-Nya yang soleh dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.” (Surah Al-Isra’: Ayat 109)

• Membaguskan suara membacanya, sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Hiasilah al-Quran dengan suaramu.” (Hadis Riwayat: Ahmad, Ibnu Majah & Al-Hakim). Dalam hadis lain dijelaskan: “Tidak termasuk umatku orang yang tidak melagukan al-Quran.” (Hadis Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim)

Maksud hadis di atas ialah membaca al-Quran dengan susunan bacaan yang jelas dan terang makhroj hurufnya, panjang pendeknya bacaan, tidak sampai keluar daripada ketentuan kaedah Tajwid.

• Membaca al-Quran dimulai dengan isti’adzah. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bila kamu akan membaca al-Quran, maka mintalah perlindungan kepada Allah daripada (godaan-godaan) syaitan yang terkutuk.” (Surah An-Nahl: Ayat 98)

• Apabila ayat yang dibaca dimulai dari awal surah, selepas isti’adzah terus membaca Basmalah dan apabila tidak di awal surah cukup membaca isti’adzah. Khusus untuk surat At-Taubah, walaupun dibaca mulai awal surat tidak perlu membaca Basmalah. Cukup dengan membaca isti’adzah saja.

• Membaca al-Quran dengan berusaha mengetahui ertinya dan memahami inti daripada ayat yang dibaca dengan beberapa kandungan ilmu yang ada di dalamnya. Firman Allah bermaksud: “Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran, ataukah hati mereka terkunci?” (Surah Muhammad: Ayat 24)

• Membaca al-Quran dengan tidak mengganggu orang sedang solat, dan tidak perlu membacanya dengan suara yang terlalu keras atau di tempat yang banyak orang. Bacalah dengan suara atau dalam hati secara khusyuk. Rasulullah bersabda bermaksud: “Orang yang terang-terangan (di tempat orang banyak) membaca al-Quran, sama dengan orang yang terang-terangan dalam sedekah.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Nasa’i, dan Ahmad)

Dalam hadis lain dijelaskan: “Ingatlah bahawa setiap hari dari kamu munajat kepada Rabbnya, maka janganlah salah satu daripada kamu mengganggu yang lain, dan salah satu daripada kamu tidak boleh mengangkat suara atas yang lain di dalam membaca (al-Qur’an).” (Hadis Riwayat: Abu Dawud, Nasa’i, Baihaqi dan Hakim)

Jangan jadikan ibadah yang kita lakukan sia-sia kerana kita tidak mengendahkan sunnah Rasulullah dalam melaksanakan ibadah membaca al-Quran.

Misalnya, membaca dengan suara keras pada larut malam, yang akhirnya mengganggu orang yang istirahat dan solat malam.

• Dengarlah bacaan al-Quran. Jika ada yang membaca al-Quran, maka dengarlah bacaannya itu dengan tenang. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tatkala dibacakan al-Quran, maka dengarlah dan diamlah, semoga kamu diberi rahmat.” (Surah Al-A’raaf: Ayat 204)

• Membaca dengan saling bergantian. Membaca al-Quran, boleh dilakukan secara bergantian dan yang mendengarnya haruslah dengan khusyuk dan tenang. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah berkumpul suatu kaum di dalam rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya kecuali akan turun atas mereka ketenangan dan mereka diliputi oleh rahmat (Allah), malaikat menyertai mereka, dan Allah membanggakan mereka di kalangan (malaikat) yang ada di sisi-Nya.” (Hadis Riwayat: Abu Dawud)

• Melakukan sujud Tilawah (sujud Sajdah) pada saat selesai membaca ayat Sajdah, pada bila-bila masa saja, baik siang ataupun malam, jika pembacanya belum batal daripada wuduk. Tatacara pelaksanaannya dimulai daripada takbir, lalu sujud, kemudian membaca “Subhaana Rabbiyal A’laa”’ (Maha Suci Rabb-ku Yang Maha Tinggi), lalu dilanjutkan dengan doa sujud Tilawah. Selepas itu bangkit daripada sujud tanpa takbir dan salam, kerana tidak ada riwayat daripada Nabi s.a.w mengenai hal itu, kecuali jika sujud Tilawah itu dilakukan di tengah-tengah pelaksanaan solat, maka ia bertakbir ketika sujud dan bangkit daripada sujud.

• Berdoa selepas membaca al-Quran. Dalam sebuah riwayat dijelaskan, bahawa sahabat apabila khatam membaca al-Quran, mereka berkumpul untuk berdoa dan mengucapkan: “Semoga rahmat turun atas selesainya membaca al-Quran.”

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a dijelaskan bahawa apabila dia sudah khatam membaca Al-Quran, dia mengumpulkan keluarganya dan berdoa. (Hadis Riwayat: Abu Dawud)

Setiap orang Islam wajib mengatur hidupnya sesuai dengan tuntutan al-Quran. Ia harus dipelihara kesucian dan kemuliaannya, serta dipelajari dan difahami ayat-ayatnya.

Pelaksanaan ini adalah sebagai tanda kita beriman kepada al-Quran.
 

WAKTU MUSTAJAB UNTUK BERDOA


• Doa ketika hujan lebat

Rasulullah bersabda: "Dua doa yang tidak pernah ditolak iaitu doa ketika waktu azan dan doa ketika waktu hujan."

Hujan membawa rahmat kepada manusia dan kehidupan lain. Manusia perlukan air untuk diminum dan tumbuhan perlukannya untuk tumbesaran.

Imam Nawawi memberitahu doa pada waktu ini jarang ditolak kerana turunnya rahmat terutama curahan hujan pertama di awal musim.

• Doa ketika mendirikan solat fardhu

Sabda Rasulullah S.a.w ini menggambarkan afdalnya berdoa saat ini: "Berdoalah pada waktu mustajab doa iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, waktu mendirikan solat dan ketika hujan turun." (Riwayat Abu Daud)

• Doa apabila bilal selesai azan

Kita sepatutnya melazimkan diri berdoa pada waktu ini sementara menunggu iqamat yang akan diucapkan oleh bilal.

Dengan demikian, doa kita tidak akan ditolak oleh Allah berdasarkan apa yang disebut oleh Rasulullah S.a.w dalam sabda bermaksud:" Doa tidak akan ditolak di antara azan dan iqamat." (Riwayat Abu Daud dan Al-Baihaqi)

• Doa ketika sujud

Rasulullah S.a.w bersabda maksudnya: "Seorang hamba paling hampir kepada Tuhannya adalah ketika dia sujud, maka kamu perbanyakkanlah doa." (Riwayat Muslim, An-Nasa'i, Abu Daud dan Ahmad)

Ketika bersujud kepada Allah, dahi kita mencecah lantai, maka Rasulullah S.a.w memberi tunjuk ajar kepada kita supaya memperbanyakkan berdoa kerana waktu ini kita terlalu hampir dengan Allah.

Wallahu a'lam.

 

ADAB- ADAB DI DALAM BERDOA

1. Mengangkat kedua belah tangan hingga setentang keduanya dengan kedua belah bahu. Kedua tapak tangan terbentang (menengadah) ke atas.

2. Menghadap ke kiblat.

3. Merendahkan suara seolah- olah berbisik. Jangan berlagu dengan untaian kata yang berpuisi. Berdoalah secara sederhana dan bersopan santun

4. Hadir hati, ikhlas, tunduk dan menghinakan diri kepada Allah serta merasakan kebesaran-Nya.

5. Yakin bahawa doa itu akan diperkenankan Allah dan tidak pula merasa gelisah jika doa kita tidak dimakbulkan-Nya.

6. Mengulang- ulangi doa sebanyak tiga kali atau lebih.

7. Bertaubat sebelum berdoa.

8. Setiap doa hendaklah dimulai dengan puji- pujian kepada Allah kemudian diikuti dengan selawat Nabi. Misalnya:

 اَلْحَمْدُ لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ >< اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ

Maksudnya:

Segala puji hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Ya Allah, rahmatilah oleh-Mu akan Nabi Muhammad S.a.w, keluarga dan para sahabatnya dan berilah kesejahteraan kepada mereka sekalian.

9. Selepas membaca doa yang kita kehendaki, maka bacalah selawat Nabi dan puji- pujian kepada Allah. Misalnya:

وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمّدٍ  وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ

Maksudnya:

Mudah- mudahan Allah melimpahkan rahmat dan kesejahteraan kepada penghulu kami, Nabi Muhammad S.a.w dan kepada ahli keluarga serta para sahabatnya sekalian. Dan puji- pujian hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.