Kitab suci Al- Quran Al-Karim yang diturunkan oleh Allah S.w.t kepada Nabi Muhammad S.a.w, nabi dan rasul yang akhir sekali, ialah kitab suci yang akhir sekali yang memansuhkan kitab- kitab suci yang terdahulu daripadanya.
Al-Quran Al-Karim diturunkan oleh Allah S.w.t kepada baginda S.aw dalam masa umat manusia terutama kaum Yahudi dan Nasrani berada dalam persengketaan dan perselisihan dalam berbagai- bagai masalah termasuk masalah ketuhanan dan kerasulan. Masing- masing pihak membenarkan pihaknya dan menyalahkan yang lain.
Al-Quran Al-Karim antara lainnya, mempunyai dua tugas yang besar.
1. Mengakui kebenaran yang terkandung dalam kitab- kitab suci yang terdahulu daripadanya, mengenai beribadat kepada Allah semata- mata, beriman kepada rasul- rasulnya, menjalankan kebenaran dan keadilan, berakhlak dengan sifat- sifat yang mulia dan mengakui benar adanya balasan pada hari akhirat.
2. Mengawasi kitab- kitab yang tersebut serta mendedahkan perubahan, pindaan dan tokok tambah yang terdapat dalam kitab- kitab itu, yang dilakukan oleh kaum Yahudi dan Nasrani.
Hakikat ini ditegaskan oleh Allah S.w.t di dalam Al-Quran Al- Karim, bermaksud:
" dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab Al- Quran dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya kitab- kitab suci yang terdahulu daripadanya dan untuk memelihara serta mengawasinya..."
(Surah Al-Ma'idah: 48).
" Di antara orang- orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) kalam Allah (isi kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar..."
(Surah Al- Nisa': 46)
" dan di antara orang- orang yang berkata: ' Bahawa kami ini orang- orang Nasrani, kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka juga melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya..."
(Surah Al-Ma'idah: 14)
Jelasnya sesiapa yang hendak mencari kebenaran dan hendak mencapai pengajaran- pengajaran Ilahi yang benar, tidak akan dapat di mana- mana pun selain daripada yang terhimpun di dalam Al- Quran Al- Karim, kerana Al- Quranlah kitab suci yang terpelihara keasliannya dan terselamat pengajarannya daripada sebarang perubahannya, pindaan dan tokok tambah, serta telah disambut dan diterima oleh umat Islam dari Nabi Muhammmad S.a.w, yang menerimanya dari malaikat Jibrail A.s, yang membawa turunnya dari Allah S.w.t.
Al- Quran juga sebuah kitab yang terhimpun di dalamnya:
1) Dasar- dasar suci dan mulia, dan sebenar- benar cara serta sebaik- baik peraturan,
2) Segala apa jua yang diperlukan oleh umat manusia meliputi akidah kepercayaan, amal ibadat, adab sopan, dan segala bentuk muamalat (kira bicara dan perhubungan sesama manusia dalam bidang perniagaan, perusahaan dan sebagainya)
3) Segala peraturan yang menjamin wujudnya orang perseorangan yang sempurna, keluarga yang mulia, masyarakat yang baik dan kerajaan yang adil.
Hakikat ini diterangkan oleh Allah S.w.t dalam ayat 15-16, surah Al- Ma'idah.
Di antara maksud- maksudnya:
1) Bahawa umat Muhammad S.a.w telah datang kepada mereka, dari Allah S.w.t, seorang rasul selaku obor- obor atau suluh yang menerangi pandangan hati nurani manusia, dan sebuah kitab Al- Quran yang menyatakan segala yang dihajati oleh umat manusia untuk kesempurnaan dan kesentosaan,
2) Bahawa melalui rasul dan kitab yang tersebut, Allah S.w.t dengan peraturan dan undang- undang-Nya:
a) Menunjukkan jalan keselamatan hidup di dunia dan di akbirat kepada sesiapa yang menerima dan menurut peraturan dan cara bawaan hidup yang diredhainya,
b) Mengeluarkan manusia dari gelap gelita kufur, kejahilan, maksiat dan sebagainya kepada sinaran cahaya iman, ilmu pengetahuan, amal ibadat dan perkara- perkara yang mulia
c) Memimpin manusia ke jalan yang tidak ada kebimbangan sesat bagi sesiapa yang melaluinya, dan tidak pula berat atau payah dijalani, iaitu jalan "Siratul Mustakim" yang betul lurusnya.