Sayugianya diingat bahawa masa yang bermula dari ketika manusia bangkit dari kubur pergi ke padang mahsyar menghadiri perbicaraan dan hukuman Tuhan Rabbul 'alamiin, sehingga ke waktu manusia menduduki tempat masing- masing di syurga atau neraka, mengikut hukuman Tuhan yang maha adil, ialah masa hari kiamat yang terbesar, masa yang huru haranya menyelubungi jiwa dan tubuh badan manusia.
Tuhan yang amat mengasihani mengingatkan kita tentang keadaan huru haranya itu di dalam Al-Quran Al-karim, di antaranya:
Pertama:
Ayat 2 surah Al-Haj yang maksudnya: kedahsyatan masa hari kiamat itu sangatlah mengejutkan dan menjadikan seseorang terpegun dan terpinga- pinga sehingga orang ramai kelihatan seperti keadaan orang mabuk, dan kalau ditakdirkan ada pada masa itu perempuan yang mengandung, gugurlah anak kandungannya, kalau ada yang menyusukan anak, ia tidak akan ingatkan anak susuannya.
Kedua:
Ayat 88 dan 89 surah Al-Syu'ara' yang maksudnya: masa kiamat itu ialah masa yang harta benda dan anak pinak seseorang tidak akan memberi manfaat kepadanya kalau ia mengadap Tuhan dengan hati yang tidak bersih daripada kekotoran kufur dan syirik, sekalipun harta benda itu ia belanjakan pada jalan kebajikan dan anak pinak itu diberinya didikan agama dan akhlak yang mulia sehingga menjadi seorang anak yang soleh.
Ketiga:
Ayat 34- 37 surah 'Abas yang maksudnya: masa kiamat itu ialah masa yang tiap- tiap seseorang melarikan diri daripada saudaranya, ibu bapanya, isterinya dan anaknya, kerana masing- masing pada masa itu cukup sibuk dengan urusan keselamatan dirinya, tidak berpeluang hendak mengambil tahu hal orang lain sekalipun orang itu serapat- rapat, semulia- mulia dan sekasih- kasih orang kepadanya.
Wallahu a'lam..