Syirik ialah mempersekutukan sesuatu dengan Allah S.w.t pada sifat "Uluhiyah"-Nya atau "Rububiyah"-Nya.
Sifat "Uluhiyah" Allah S.w.t ialah sifat-Nya berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintah-Nya,ditumpui dan dipohonkan untuk mendapat segala kebaikan dan menolak sebarang mala petaka dan perkara- perkara yang tidak diingini.
Sifat "Rububiyah"Nya pula ialah sifat mentadbir dan menguruskan, cara menjaga dan memelihara, mengasuh dan mendidik sekalian alam yang telah diciptakan-Nya, iaitu dengan mengadakan segala keperluan yang dihajati oleh wujud tiap- tiap satunya, mengatur dan menyusun undang- undang dan peraturan bagi kesuburan, perkembangan dan kesempurnaan masing- masing, serta menyatakan dan menunjukkan hukum- hukum halal haram dan sah batal untuk kebaikan jasmani dan kebahagiaan rohani manusia.
Maka sesiapa yang menganggap bahawa mana- mana satu dari sifat- sifat itu ada pada sesuatu yang lain daripada Allah S.w.t nescaya ia telah melakukan syirik dengan Allah, walaupun ia pada masa itu masih beriman kepada Allah.
Tentang ini Allah S.w.t berfirman dalam surah Yusuf, ayat 106, maksudnya:
"Meskipun kebanyakan mereka beriman kepada Allah dalam pada itu mereka tidak sunyi dari perbuatan syirik."
Dengan itu setiap orang yang beriman itu adalah dilarang mendewa- dewakan sebarang makhluk dengan mengasihinya dan menurut perintahnya sebagaimana ia mencintai dan mentaati Allah, atau meminta dan mengharapkan hasil sesuatu hajat dari sesuatu makhluk atau dengan sesuatu cara, kecuali setelah diketahui bahawa makhluk atau cara yang tersebut diharuskan oleh Allah bagi seseorang menggunakannya sebagai jalan, sebab atau alat untuk menjayakan maksudnya.
Demikian juga amatlah salahnya menerima sebarang undang- undang dan peraturan, atau hukum hakam yang diadakan oleh yang lain daripada Allah, kecuali sekadar yang berdasarkan aturan, kenyataan atau pengajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.a.w.
Kesimpulan hadis ini, mengingatkan manusia daripada terjerumus ke dalam sebarang iktikad atau perbuatan syirik supaya terselamat daripada balasan buruk yang dijanjikan.