SIFAT- SIFAT ABU BAKAR AS- SIDDIQ


Beliau Khalifah yang pertama, pejuang yang pertama sesudah Rasulullah S.a.w. Di dalam beribadatnya kepada Allah, kerana sungguh dan khusyuknya sampai dapat dicium dari mulutnya bau limpanya yang terbakar kerana takut akan Allah. Pada malam hari ia beribadat dengan membaca Al-Quran sepanjang- panjang malam. Kerana itu sewaktu masih di Mekah, sampai pihak Musyrikin meminta kepada Rasulullah S.a.w agar melarang beliau membaca Al-Quran, kerana suaranya yang menangis sambil membaca Al-Quran itu menggoda hati manusia, terutama kaum wanita. Mereka terus terpengaruh apabila terdengar Abu Bakar membaca Al-Quran. Biarpun belum semua yang telah mendengarkan bacaannya itu masuk Islam, akan tetapi hati simpatik dan senang kepada isi Al-Quran sudah tersemai di dalam kalbu mereka. Dengan demikian, keislaman mereka hanya menanti saatnya jua.

Pada suatu hari, Abu Bakar memakan sesuatu makanan. Kemudian ia mendapat tahu bahawa bahan makanan itu masih di dalam taraf shubhat, belum terang halal dan haramnya. Lalu dimasukkannya tangannya ke dalam mulutnya dan mengeluarkan isi makanan tersebut dari mulutnya. Amat berat sekali atas dirinya memakan makanan yang mengandungi syubhat, baik syubhat ria ataupun dosa- dosa lainnya. Beliau pernah mengeluarkan pendapat dalam bidang hubungannya dengan Allah, katanya:"Siapa yang telah merasai ma'rifat yang khalis (tulen) barang sedikit jua, yang demikian itu akan menyebabkan ia menjadi lalai daripada yang lain Allah dan akan merasa liar terhadap segala manusia."

Pada suatu peperangan Tabuk, Rasulullah S.a.w telah meminta kepada sekalian kaum Muslimin agar mengorbankan hartanya fi sabilillah. Maka datanglah Abu Bakar membawa sekalian hartanya dan diletakkannya di antara dua tangan Rasulullah S.a.w. Lalu Nabi berkata kepadanya:"Apa lagi yang engkau tinggalkan bagi anak-anakmu, hai Abu Bakar?" Jawabnya sambil ketawa:"Saya tinggalkan bagi mereka Allah dan Rasul-Nya."

Beliau berkata pula mengenai bidang nafsu dan makanan, katanya: "Tidak pernah saya ingin akan sesuatu makanan, melainkan saya halangi diri saya daripadanya. Kerana tidak ada yang membinasakan diri manusia selain dari syahwatnya." Di rumahnya selalu ia tidak makan dengan senang hati, seraya berkata: "Di dalam ibadat ada kekayaan bagi siapa yang menghendakinya."

Pada suatu hari beliau minta air. Lalu dibawa orang suatu tempat minuman isinya air dan madu. Setelah dekat dengan mulutnya, ia pun menangis sampai menangiskan sekalian yang berada dekat beliau. Kata mereka kepadanya: "Apa yang menyebabkan tuan menangis ini?" Jawabnya:" Suatu kali saya berada bersama Nabi S.a.w. Saya lihat Nabi menolakkan sesuatu daripada beliau seraya berkata: "Jauhlah engkau daripadaku." Saya tidak ada nampak seorang pun dekat Nabi. Jadi siapa yang ditolakkan Nabi itu. Lalu saya berkata kepada beliau:"Ya Rasulullah, apa ini?". Jawab Nabi S.a.w:"Iaitu dunia, ia menjelma kepadaku dengan segala isinya." Lalu aku katakan kepadanya:"Jauhlah engkau daripadaku." Lalu dunia itu pergi daripadaku, sambil berkata:"Demi Allah, kalau tuan lepas daripada saya, akan tetapi orang di belakang tuan tidak akan lepas daripada saya, kerana itulah yang menyebabkan saya menangis," kata Abu Bakar R.a.

Demikian sedikit kisah tentang kesucian jiwa Abu Bakar R.a baik sebelum menjadi Khalifah maupun sesudahnya.